Dua mata berharga buat Pescao di Brno

Naim Jaya

Pelumba Malaysia yang beraksi bersama Monster Yamaha Tech 3, Hafizh Syahrin terus menunjukkan peningkatan di saingan MotoGP apabila beliau berjaya menamatkan saingan di tempat ke 14 pada perlumbaan yang berlangsung di Brno Automotodrom, Republik Czech hujung minggu lalu.

Kejayaan menamatkan perlumbaan di pusingan ke sembilan saingan dalam kalendar MotoGP dunia itu membolehkan Hafizh mengutip dua mata berharga sekaligus terus mendahului pencabar terdekat bagi perebutan ‘Rookie of The Year’, Franco Morbidelli yang sebelum ini ketinggalan beberapa perlumbaan akibat kecederaan.

Dalam perlumbaan yang berlangsung pada hujung minggu, Hafizh gagal meneruskan kecemerlangan di sesi Free Practice 1 dan 2 pada Jumaat apabila beliau ketinggalan dengan perbezaan beberapa saat sahaja dengan pendahulu pada sesi Free Practice 3 yang sepatutnya membolehkan beliau menyertai pusingan kelayakan Q2 jika menduduki kedudukan sepuluh teratas.

Hafizh yang menyertai pusingan kelayakan Q1 kemudiannya mencatatkan masa ke-enam terpantas sekaligus mengesahkan kedudukan petak permulaan di P16.

Bermula dari bahagian belakang perlumbaan bukanlah sesuatu yang mudah buat Hafizh apabila beliau hanya mampu mengatasi dua pelumba sahaja sepanjang perlumbaan dan gagal membuat kejutan pada perlumbaan kali ini.

Menurut Hafizh, perlumbaan itu bermula dengan sangat baik apabila beliau berada hampir dengan bekas juara dunia, Alvaro Bautista namun segalanya berubah di pertengahan perlumbaan apabila jenteranya mula mengalami sedikit kegusaran di selekoh dan menjadikan perlumbaan tersebut semakin sukar buat beliau.

Pada perlumbaan 21 pusingan yang berlangsung di Republik Czech itu, Hafizh ataupun lebih dikenali dengan gelaran El Pescao di kalangan peminatnya menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dengan catatan masa 41m29.109s.

Podium pada kali ini pula menjadi milik dua pelumba Ducati, Andrea Divizioso dan Jorge Lorenzo dengan diringi seorang lagi pelumba Honda Repsol dan juara dunia musim lalu Marc Marquez.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi pelumba kelahiran Malaysia di saingan Moto2, Khairul Idham Pawi sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 20 manakala pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin pula gagal menamatkan saingan.

 

Foto: Getty Images

Comments