Setuju atau tidak Asia juga menganjurkan Nations League?

Muhammad Aiman Aminul

Minggu ini bermulanya satu liga baru di pentas bolasepak antarabangsa membabitkan pasukan-pasukan kebangsaan dari Eropah dinamakan ‘UEFA Nations League’ yang menggantikan slot perlawanan persahabatan antarabangsa.

Ia akan berlangsung membabitkan penyertaan 55 negara yang berdaftar dengan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan dibahagikan kepada empat liga mini (Liga A, B,C, D) dengan kedudukan setiap pasukan dalam liga ditentukan berdasarkan ranking FIFA.

12 pasukan terbaik Eropah akan berada di dalam Liga A, 12 pasukan terbaik seterusnya diletakkan dalam Liga B, 15 yang seterusnya dalam Liga C manakala baki 16 lagi berada di dalam Liga D.

Mereka kemudiannya akan diundi pula ke dalam kumpulan kecil (Kumpulan 1, 2, 3 ,4) di setiap liga yang menyaksikan pasukan boleh disingkirkan ke liga lebih bawah dan dan dipromosi di penghujung setiap pusingan perlawanan.

Tertarik dengan penganjuran Nations League ini, nampaknya Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersedia mempertimbangkan menganjurkan satu liga dengan menggunapakai format sama, sepertimana dinyatakan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John kepada Berita Harian.

“Kebarangkalian untuk AFC tampil dengan pertandingan sedemikian memang ada namun ia memerlukan kajian lebih mendalam sebelum dapat diimplementasikan tanpa sebarang masalah.

“Kita akan terlebih dahulu mengkaji semua pertandingan AFC dalam masa terdekat untuk memastikan ia selaras dengan visi dan misi AFC,” kata Windsor.

Apa sebenarnya kelebihan yang ditawarkan oleh Nations League?

Sebenarnya dengan memperkenalkan Nations League ini, UEFA mengurangkan aksi-aksi persahabatan yang tidak berfaedah, meningkatkan level kompetitif jadual antarabangsa di Eropah dalam masa sama dapat meningkatkan nilai satu-satu perlawanan itu.

Jadi tiada lagi aksi persahabatan sekadar untuk melengkapkan kekosongan dalam jadual antarabangsa.

Selain itu, peluang untuk sesebuah pasukan itu untuk memperbaiki ranking juga adalah tinggi kerana setelah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil, negara-negara ini berdepan lawan dengan kekuatan yang setaraf.

Jadi ini bermakna peluang untuk pasukan lemah mula merasai kemenangan juga lebih tinggi berbanding sentiasa tewas kepada pasukan yang jauh lebih kuat.

Bagi penyokong pula mereka dapat menyaksikan sebuah perlawanan yang lebih berkualiti, lebih bernilai untuk poket mereka.

Dengan pelbagai elemen positif boleh didapati menerusi penganjuran Nations League, setuju atau tidak sekiranya AFC menganjurkan pertandingan ini di benua Asia?

 

Foto : NSTP

Comments