Hilang pemain pada saat seperti ini adalah sangat kejam!

Muhammad Aiman Aminul

Melepaskan pemain ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan bukan sahaja memeningkan pasukan utama yang bersaing dalam Liga Malaysia, tetapi ia nampaknya turut menjadi isu buat pasukan peringkat umur yang mengambil bahagian di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara yang membidas secara terbuka cara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengatur jadual latihan pusat skuad bawah 19 tahun kebangsaan sehingga mengakibatkan mereka kehilangan dua pemain tonggak untuk beraksi di temasya dwitahunan itu yang akan bermula Sabtu ini.

Ketua jurulatih pasukan B-19 negara, Bojan Hodak telah menyenaraikan dua pemain pertahanan pasukan itu Nabil Hakim Bokhari dan Muhd Azhar Apandi dalam senarai 24 pemain untuk menjalani latihan pusat dan beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan di Muscat, Oman sejak 1 September lalu.

Ia adalah sebagai satu daripada rangka persiapan untuk pasukan B-19 negara untuk menghadapi Kejuaraan AFC B-19 di Indonesia dari 18 Oktober hingga 4 November depan.

“Kalau diikutkan memang kami tidak mahu melepaskan mereka. Ketiadaan mereka berdua memang sangat dirasai dan kita khuatir ia menjejaskan kekuatan pasukan serta  misi kami memulakan kempen dengan kemenangan, tetapi mereka telah disenaraikan dan kami terpaksa akur.

“FAM seharusnya lebih peka dengan pertembungan jadual ini di mana bukan sahaja kami, tetapi pasukan lain juga memerlukan pemain utama mereka di dalam skuad. Ianya kejam untuk kehilangan pemain pada saat penting seperti ini.

“Saya berharap FAM ambil serius keluhan ini dan lebih teliti dalam menyusun jadual latihan agar ia berikan situasi win-win dan tidak ada pihak yang rugi apabila pemain dipanggil ke skuad kebangsaan,” kata pengurus pasukan Wilayah Persekutuan, Syed Yazid Syed Omar.

Selain Nabil dan Azhar, Wilayah Persekutuan turut kehilangan khidmat pemain tengah Talhah Rosli yang bersama pasukan Universiti Malaysia dalam Kejohanan Antara Universiti di Korea Selatan.

Sebagai rekod, Wilayah Persekutuan yang mempertaruhkan pasukan Piala Presiden merupakan finalis edisi lalu yang berlangsung di Sarawak dan mereka mensasarkan untuk pulang dengan emas kali ini.

Skuad bimbingan Khalid Shahdan itu diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Johor dan Terengganu. Mereka akan membuka tirai dengan menentang Johor di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Sabtu (8 September).

Seandainya pasukan B-19 negara pulang ke tanah air pada 10 September sepertimana dijadualkan, maka kelibat Nabil dan Azhar berkemungkinan besar akan dapat disaksikan dalam aksi terakhir kumpulan menentang Terengganu pada 12 September.

 

Foto : FAM

Comments