Kelantan bukan tempat untuk kembangkan karier

Muhammad Aiman Aminul

Pemain muda yang semakin mencipta nama Nik Akif Syahiran Nik Mat perlu membuat keputusan berani untuk berpindah meninggalkan Kelantan sekiranya mendapat tawaran daripada pasukan lain.

Nik Akif merupakan salah seorang pemain berusia bawah 20 tahun yang cukup menyinar dan dilihat mempunyai masa depan cerah dengan potensi yang ditunjukkannya ketika ini.

Tetapi apa yang pasti, Kelantan adalah tempat untuk membina karier, bukannya mengembangkan karier mengambil kira pelbagai masalah pengurusan dan isu luar padang yang dialami mereka sejak beberapa tahun kebelakangan selain turut dihimpit krisis kewangan meruncing.

Nik Akif adalah antara pemain muda mendapat kepercayaan membarisi skuad utama Kelantan musim ini dan namanya mula menjadi bualan selepas dia membantu skuad negara mencipta sejarah menjulang Kejuaraan AFF B-19 dengan menjaringkan dua gol pada aksi final.

Kemudiannya dia membantu cabaran skuad B-23 di Sukan Asia dan terbaru telah dipanggil memperkuatkan skuad senior bimbingan Tan Cheng Hoe.

Prestasi meningkat naik ditunjukkannya itu dilaporkan berjaya menarik perhatian beberapa kelab lain termasuk sebuah pasukan dari Thailand justeru jika peluang itu hadir, dia perlu menyahut cabaran itu tanpa ragu, mengorak langkah demi masa depan yang lebih terjamin.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pemain itu ada dalam perancangan pasukan untuk musim depan tetapi mengakui ianya sukar untuk mengekalkan pemain berusia 19 tahun itu bersama mereka.

Bibi sedar Kelantan tidak dapat bersaing dengan pasukan yang mempunyai kekuatan kewangan dan menyatakan kesediaan melepaskannya jika benar ada pasukan yang berminat.

Dalam satu kenyatan yang dipetik daripada Berita Harian, Bibi berkata, “Setakat ini kami belum menerima apa-apa tawaran untuk Nik Akif, jika ada kami sedia berunding. Kalau kelab yang menawarkan kontrak lebih baik dan dapat membawa Nik Akif ke peringkat lebih jauh, tidak salah untuk melepaskannya demi masa depan dia.

“Tapi, dia masih mempunyai kontrak dengan kami untuk beberapa tahun lagi dan sebarang perpindahan mungkin membabitkan tebus kontrak yang agak tinggi.

“Kami ada perjanjian tambahan dalam kontrak yang mana kedua-dua pihak, pengurusan dan pemain mempunyai hak bersama supaya pemain juga dapat berusaha untuk meningkatkan prestasi demi kerjaya serta masa depan mereka.”

Foto : Kelantan FA

Comments