Kedah akhirnya rasai nikmat kemenangan, terima kasih Liridon

Muhammad Aiman Aminul Muhammad Aiman Aminul

Sentuhan jaringan Liridon Krasniqi yang kembali beraksi setelah hampir dua bulan tersisih membantu Kedah bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan pertama dalam aksi Kumpulan C dengan menewaskan MIFA 3-2 seterusnya menghidupkan semula peluang juara 2016 itu merebut tempat di suku akhir Piala Malaysia.

Ketiadaan Nidzam Adzha Yusoff yang direhatkan susulan prestasi hambar dalam tujuh perlawanan lalu menyaksikan tugas selaku pengendali diambil alih oleh Azzmi Aziz.

Pada satu ketika ianya tampak seolah MIFA akan menambah duka finalis tiga musim berturut-turut itu dan meneruskan langkahan giant-killer mereka apabila mendahului 1-0 di Stadium Darul Aman menerusi  jaringan Kpah Sean Sherman pada minit ke-28 sebelum Liridon mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-44.

Jaringan Syazwan Tajuddin yang tertolak bola hantaran Bae Beom Geun ke gawang sendiri kembali meletakkan pasukan bimbingan K.Devan di depan namun Liridon mengikat kedudukan sekali lagi pada minit ke-60.

Kapten pasukan, Sandro Mendonca memastikan tiga mata buat Lang Merah menerusi jaringan sepakan percuma cantik pada minit ke-66.

Kedah melonjak ke tangga ketiga Kumpulan C di belakang MIFA dan Kelantan dengan empat mata, manakala juara bertahan Johor Darul Takzim jatuh ke tangga tercorot.

Dalam aksi Kumpulan A pula, Felcra FC bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk membawa pulang satu mata dari Kuala Terengganu dengan mengikat tuan rumah Terengganu FC 2-2.

Pemain veteran Ashaari Samsudin menjaringkan dua gol pada minit ke-21 dan 46 untuk meletakkan sang penyu di depan namun ‘the rivals’ bangkit menerusi jaringan Alif Samsudin (m-60) dan Abdul Azim Rahim pada minit akhir perlawanan.

Terengganu kekal selaku pendahulu kumpulan A dengan tujuh mata manakala Felcra pula mengumpul dua mata.

Sementara itu aksi kumpulan D menyaksikan juara 33 kali, Selangor terus dirundung malang apabila kecundang buat kali ketiga berturut-turut, kali ini 1-2 di tangan Sabah.

Sean Eugene Selvaraj meletakkan Red Giants di depan ada minit ke-79 namun Sabah bangkit bergaya untuk melakar kemenangan menerusi jaringan Rahman Shah Marajeh pada minit ke-83 dan Ricco Nigel Milus pada masa kecederaan.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Sabah menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan perlawanan dan mereka juga masih belum tewas selepas tiga perlawanan.

Skuad bimbingan Jelius Ating menduduki tangga kedua Kumpulan D dengan tujuh mata, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan Pahang yang turut mengumpul tujuh mata setelah skuad Dollah Salleh itu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PKNP FC di Batu Kawan menerusi jaringan Matthew Davies.

Foto : Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah

 

Comments