Rangel akan tetap diturunkan kerana dia dibayar gaji

Muhammad Aiman Aminul Muhammad Aiman Aminul

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menegaskan penyerang import, Paolo Rangel akan tetap diturunkan pasukan itu bagi baki aksi musim ini meskipun barisan kejurulatihan telah mencapai kata sepakat untuk menyisihkannya sebelum ini.

Menurut Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris, ianya satu kerugian besar untuk terus membayar gaji pemain itu sehingga kontraknya tamat tanpa membenarkannya bermain.

“Kecuali digantung atau mengalami kecederaan, Rangel akan tetap bermain. Selagi laporan perubatan mengatakan dia cergas, dia harus diturunkan kerana kita bayar gaji dia,” kata Asmirul.

Rangel pada 10 Ogos lalu menimbulkan kemarahan barisan kejurulatihan Kedah apabila menunjukkan sikap kurang professional dengan mengingkari arahan untuk memanaskan badan sebelum perlawanan Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim.

Sebaliknya dia memilih untuk menunjukkan protes dengan duduk berseorangan di bangku simpanan malah dia juga enggan bersalam dengan pegawai pasukan sebelum perlawanan bermula.

Rangel dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati namanya tiada dalam kesebelasan utama dengan Nidzam Adzha Yusoff memilih menyenaraikan Zafuan Azeman untuk mengemudi jentera serangan.

Disebabkan itu, Nidzam berkata barisan kejurulatihan tidak lagi boleh bertolak ansur dengan sikap kurang professional pemain itu dan mencapai kata sepakat untuk tidak menurunkannya dalam baki aksi Piala Malaysia.

Dalam pada itu, tatkala Rangel diberi talian hayat untuk terus kekal beraksi, ianya Nidzam yang ditunjukkan jalan keluar apabila dia sah direhatkan sebagai jurulatih pasukan dan ianya diambil alih Azzmi Aziz.

Kelibatnya tidak kelihatan sepanjang sesi latihan minggu ini sejak kekalahan 1-5 kepada JDT yang melebarkan kemarau kemenangan Kedah kepada tujuh perlawanan.

“Kami berterima kasih kepada Nidzam dia atas khidmat dan sumbangan Nidzam, dia akan diberi tugasan lain sehingga kontraknya tamat,” jelas Asmirul.

 

Foto : Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah

Comments