Piala Malaysia : 3 punca kekalahan mengejut JDT di tangan Kelantan

Muhammad Aiman Aminul Muhammad Aiman Aminul

Keupayaan Johor Darul Takzim (JDT) untuk mempertahankan Piala Malaysia yang kali pertama mereka menangi pada tahun lalu nampaknya semakin diragui selepas dua kekalahan dalam tiga aksi peringkat kumpulan – kedua-duanya kepada lawan yang boleh disifatkan bukan lawan setanding buat mereka.

Mereka gagal mengulangi aksi garang ketika membelasah Kedah sebaliknya tewas kepada barisan sembilan pemain Kelantan menerusi jaringan tunggal penalti Cristiano Santos pada minit ke-45.

Kami senaraikan tiga sebab yang boleh dikatakan sebagai punca utama sang harimau selatan pulang hampa dari Kota Bharu.

 

Kualiti pengadilan yang meragukan

Dalam satu kenyataan selepas perlawanan, pengurus merangkap ketua jurulatih JDT, Luciano Figueora membidas kualiti pengadilan dan menyifatkan beberapa keputusan oleh Suhaimi Mat Hassan sebagai meragukan.

“Pemain telah bermain dengan baik namun keputusan pengadil dari awal lagi diragui. Tiada penalti apabila Fernando Marquez dijatuhkan ketika situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan dan ada lagi dua tiga insiden dimana pada pandangan saya keputusan pengadil tidak menyebelahi kami.

“Kami juga dinafikan dua sepakan penalti di separuh masa kedua. Memang agak sukar untuk bermain bukan sahaja menentang lawan yang bertahan sepenuhnya namun keputusan pengadil yang tidak menyebelahi kami menambahkan lagi kesukaran itu,” katanya.

Insiden yang dimaksudkan Figueroa adalah apabila Fernando Marquez dijatuhkan oleh penjaga gol Faridzuean Kamarudin pada separuh masa pertama, dan kemudiannya pertahanan Kelantan Farisham Ismail Puad terjatuh dan menarik Marquez di separuh masa kedua.

 

Pertukaran pemain yang tidak membantu  

JDT ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama kepada sebuah pasukan yang dianggap sebagai lawan kerdil dan seperti diduga mereka mengambil alih penguasaan di separuh masa kedua untuk mengerah barisan pertahanan Kelantan bekerja keras menyerap asakan bertali arus.

Gol yang dicari bagaimanapun tidak juga kunjung tiba dan hanya satu pertukaran penting dilakukan Figueroa apabila memasukkan Syamer Kutty Abba menggantikan Nazmi Faiz Mansor kira-kira 15 minit selepas separuh masa kedua berlangsung.

Walaupun barisan depan seolah buntu idea, dilihat tidak begitu efektif, Figueroa memilih untuk membuat pertukaran di pertahanan dengan mengeluarkan Azrif Nasrulhaq dan memasukkan S.Kunanlan – itupun pada minit ke-88, dua minit sebelum tamat perlawanan.

Kemudiannya Darren Lok pula dibawa masuk pada masa kecederaan menggantikan Ahmad Hazwan Bakri untuk cuba merubah keputusan.

 

Ketiadaaan Safawi dirasai

Pada malam barisan serangan diketuai Fernando Marquez bergelut untuk memecahkan tembok pertahanan Kelantan, bintang muda Safawi Rasid sebelum itu cemerlang mengukir nama sebagai wira ketika membantu Malaysia menumbangkan gergasi Asia Korea Selatan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

Ini sudah cukup membuktikan apa yang JDT kehilangan, Safawi sudahpun terbukti sebagai salah seorang penyerang terbaik tempatan malahan seperti diketahui dia merupakan penjaring terbanyak keseluruhan harimau selatan.

Mungkin ada yang mengatakan JDT mempunyai limpahan bintang dan kehilangan seorang pemain seharusnya tidak menjadi masalah. Malah mereka bersahaja meledak lima gol ketika membelasah Kedah. Tetapi di kala Marquez, Gonzalo Cabrera dan Ahmad Hazwan Bakri semuanya hilang taring di depan, Figueroa pastinya merasakan jika dia mempunyai kreativiti dan sentuhan Safawi di dalam ‘line-up’ keputusan perlawanan mungkin berbeza.

Safawi adalah x-factor buat JDT,  sama ada digunakan dalam kesebelasan utama mahupun gantian.

 

Foto : Johor Southern Tigers

Comments