Malam suka bertukar duka buat Cristiano Santos

Muhammad Aiman Aminul Muhammad Aiman Aminul

Cristiano Santos menjaringkan gol pertama peribadinya buat Kelantan selepas sembilan perlawanan untuk membantu pasukan bimbingan Yusri Che Lah itu mengejutkan Johor Darul Takzim 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Jumaat.

Pemain dari Brazil itu menyempurnakan penalti yang dihadiahkan selepas Danial Ashraff Abdullah dikasari oleh Azrif Nasrulhaq pada minit ke-44 sekaligus membolehkan Kelantan kembali dalam persaingan merebut tiket ke suku akhir.

Namun malam ceria buat Santos bertukar duka apabila dia diperintah keluar padang bersama-sama pemain gantian Hakimi Abdullah pada minit akhir perlawanan oleh pengadil Suhaimi Mat Hassan, menyaksikan Kelantan mengakhiri aksi dengan sembilan pemain.

Kemenangan membolehkan The Red Warriors melonjak ke tangga kedua Kumpulan C dengan empat mata manakala harimau selatan yang mengalami kekalahan kedua tergelincir ke tangga ketiga dengan tiga mata.

Sementara itu, Melaka United yang beraksi tanpa kelibat jurulatih E.Elavarasan pula menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit terakhir untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol dan mencatat keputusan seri 2-2 menentang PDRM di Stadium Hang Jebat.

PDRM sudah berkira-kira untuk pulang dengan tiga mata setelah jaringan oleh Sim Woon Sub pada minit ke-49 dan Nabil Ahmad Lafti pada minit ke-78 meletakkan mereka mendahului 2-0.

Ifedayo Olusegun bagaimanapun merapatkan jurang pada minit ke-86 sebelum Yahor Zubovich meledak pada masa kecederaan untuk kedua-dua pasukan akhirnya berkongsi satu mata.

Ia adalah keputusan seri ketiga berturut-turut buat Melaka selepas terdahulu seri tanpa jaringan menentang Felda United dan 3-3 menentang PKNS.

PDRM kekal di tangga tercorot dengan satu mata manakala Melaka di tempat ketiga dengan tiga mata.

 

Foto : Johor Southern Tigers

Comments