Sukan Asia : 3 perkara dari kemenangan sensasi Malaysia ke atas Korea Selatan

Muhammad Aiman Aminul

Malaysia melakar kejutan terbesar di temasya Sukan Asia Jakarta – Palembang 2018 apabila menumbangkan pasukan pilihan utama yang juga juara bertahan Korea Selatan 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia bimbingan Dato’ Ong Kim Swee melangkah ke pusingan kedua sekaligus menepati sasaran awal yang diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jom kita tinjau tiga perkara menarik dari kemenangan penuh bersejarah buat bolasepak Malaysia itu.

 

Prestasi Safawi yang kian memuncak

Prestasi bintang Johor Darul Takzim (JDT) ini memuncak tepat pada waktunya dan tampak sukar untuk disekat. Safawi cemerlang cemerlang menyumbang satu gol dan dua assist ketika membenam Republik Kyrgyz pada aksi pembukaan dan meneruskan sentuhan cemerlang sekali lagi dengan meledak dua jaringan di separuh masa pertama untuk meleburkan Korea Selatan.

Gol pertama seawal minit kelima, Safawi menunjukkan kepekaan yang tinggi untuk pantas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Korea Selatan Bumkeun Song manakala dia meledak gol kedua pada minit akhir separuh masa pertama menerusi gerakan individu dan menunjukkan ketahanan fizikal yang hebat sebelum melepaskan rembatan lemah yang gagal diselamatkan Bumkeun.

Tanpa ragu, dia pemain terbaik Malaysia, setidak-tidaknya di separuh masa pertama.

 

Game plan yang diterjemah dengan berkesan oleh pemain

Dato’ Ong Kim Swee mempertaruhkan barisan sama seperti ketika menentang Republik Kyrgyz dengan hanya membuat satu pertukaran di dalam kesebelasan dan sedikit rombakan pada formasi.

Sudah tentunya game-plan kali ini bukan untuk bermain dengan taktikal menyerang, namun apabila Kim Swee memberitahu mahu cuba membuat kejutan ketika sidang media, maka dia bukan sekadar ‘cakap kosong’ tetapi sudah ada perancangan tersendiri untuk memerangkap Korea Selatan.

Dengan aksi sedikit defensif, skuad negara kelihatan agak yakin di pertahanan dan berjaya menggagalkan ‘ball-supply’ kepada duo barisan depan Korea Selatan, dan secara keseluruhannya mereka kelihatan bergelut untuk memegang penguasaan bola.

Malaysia cuba untuk kekal dalam permainan tanpa membiarkan kelihatan terlalu dominan dan sesekali mendapatkan peluang jaringan melalui serangan balas. Selepas mendapat dua jaringan, ‘defensive-mode activated’ – ia game-plan diterjemah dengan cukup berkesan oleh pemain.

 

Barisan belakang menyerap tekanan dengan cukup cemerlang

Sebaik sahaja tamat separuh masa pertama dengan kedudukan Malaysia mendahului 2-0, kita sebenarnya sudah boleh menduga apa akan cuba dilakukan Korea Selatan pada baki 45 minit.

Reputasi dan maruah mereka sedang dicalar hebat sebuah pasukan kerdil dan mereka perlu segera kembali dalam permainan. Itulah yang berlaku apabila pasukan bimbingan Kim Hag Bum itu mengambil alih sepenuhnya penguasaan di babak kedua dan melancarkan serangan bertali arus.

Mereka juga membawa masuk pemain bintang Son Heung Min untuk mendapatkan jaringan tetapi ianya sukar memecahkan tembok pertahanan Malaysia yang utuh bertahan dan berjaya menyerap tekanan hebat dari segenap sudut, lantas membuatkan lawan seolah hilang idea.

Walaupun masih ada melakukan beberapa kesilapan mudah, secara keseluruhan barisan belakang terdiri dari Rizal Ghazali, Dominic Tan, Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin telah melakukan tugasan dan menyerap tekanan dengan cukup cemerlang. Kredit juga kepada Haziq Nadzli.

Foto : NSTP

Comments