AFF B-16 : Malaysia perbaiki pencapaian dengan duduki tempat ketiga

Muhammad Aiman Aminul

Skuad bawah 16 tahun Malaysia mengakhiri saingan Kejuaraan AFF B-16 tahun di Indonesia dengan menduduki tempat ketiga selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar.

Pencapaian itu bukan sahaja menjadi pengubat duka buat Malaysia yang tewas di separuh akhir kepada Indonesia, tetapi turut berjaya memperbaiki pencapaian menduduki tempat keempat pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Chonburi, Thailand.

Aksi di Stadium Gelora Delta Sidoarjo itu menyaksikan kedua-dua pasukan tampil dengan aksi seimbang dan saling mencipta beberapa peluang jaringan namun gagal untuk memecah kebuntuan.

Di kala pemenang hampir pasti dilihat akan ditentukan menerusi sepakan penalti, Alif Daniel muncul wira buat skuad bimbingan Raja Azlan Shah Raja Sho’ib apabila meledak jaringan tunggal kemenangan seminit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Lebih membanggakan skuad Raja Azlan ini bukanlah skuad utama sebaliknya merupakan skuad kedua yang dihantar bertanding di kejohanan ini bagi tujuan pendedahan.

Pencapaian memberansangkan yang ditunjukkan oleh pasukan-pasukan peringkat umur ini diharap dapat menyuntik motivasi kepada skuad B-23 negara yang akan bertanding dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang akan bermula minggu depan.

Sebelum ini pasukan B-19 negara mencipta sejarah menjulang Kejuaraan AFF B-19 buat pertama kali dengan menewaskan Myanmar 4-3 dalam aksi final – juga di Indonesia.

 

Foto : FAM

Comments