Figueroa ‘boss’ baru JDT?

Muhammad Aiman Aminul

Johor Darul Takzim (JDT) mengambil langkah awal sebagai persiapan menghadapi musim 2019 yang lebih mencabar apabila melakukan rombakan pada barisan kejurulatihan.

Selain liga domestik, juara Liga Super lima kali berturut-turut itu akan turut beraksi di Liga Juara-Juara Asia dan untuk itu mereka menamakan bekas bintang import dari Argentina, Luciano Figueroa sebagai pengurus pasukan.

“Beliau akan dibantu oleh Benjamin Mora dan Hamzani Omar. Ketiga-tiga mereka akan dihantar ke Atletico Madrid, Manchester City dan Wolverhampton Wanderers untuk menjalani kursus bagi meningkatkan lagi ilmu kejurulatihan.

“Kami mengambil kesempatan mengucapkan setinggi terima kasih kepada Raul Longhi serta dua pembantu iaitu Rui Rodriguez dan Ismail Ibrahim di atas perkhidmatan cemerlang yang telah ditunjukkan sepanjang membimbing pasukan.

“Ini adalah perancangan kelab dari awal musim tetapi kelab tidak mengumumkannya kerana menunggu waktu yang tepat,” kata Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kepada kenyataan ini, ia memberi indikasi bahawa Figueroa selaku pengurus akan bertindak sebagai ‘big boss’ Harimau Selatan sepertimana dipraktikkan pasukan-pasukan di Eropah.

Namun sejauh mana tanggapan itu benar belum dapat dipastikan kerana Malaysia Football League (MFL) terdahulu memaklumkan JDT telah mendaftarkan Mora sebagai ketua jurulatih baru mereka.

Sementara itu, tempat Mora di JDT II pula telah diisi oleh Ervin Boban yang sebelum ini mengendalikan pasukan JDT III, dan dia dijangka akan dibantu oleh Shakir Shaari yang akan terlebih dahulu dihantar menjalani kursus kejurulatihan.

Mereka juga merancang menghantar ‘kereta kebal’ di barisan pertahanan, untuk menjalani kursus kejurulatihan selepas dia mengumumkan persaraan sebagai pemain.

 

Foto : Johor Southern Tigers

 

Comments