AFF B-16 : Penalti Bagus bantu Indonesia singkirkan Malaysia    

Muhammad Aiman Aminul

Skuad bawah 16 tahun Malaysia tersingkir di separuh akhir Kejuaraan AFF B-16 setelah tewas 0-1 kepada tuan rumah Indonesia dalam aksi berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo.

Dalam perlawanan disaksikan kira-kira 25,000 penyokong itu, Malaysia bimbingan Raja Azlan Shah Raja Sho’ib gagal menterjemahkan prestasi bertenaga yang diharapkan sebaliknya dilihat tenggelam punca dan membenarkan Indonesia menguasai perlawanan.

Indonesia mencipta beberapa gerakan berbahaya di separuh masa pertama dan peluang terbaik mereka adalah menerusi percubaan Mochammad Supriadi yang terkena tiang.

Setelah gagal memecah kebuntuan sepanjang 40 minit pertama, skuad Fakhri Husaini menggandakan usaha di babak kedua dan memperkasa sentuhan barisan depan dengan membawa masuk Sutan Amandoondriano Zico.

Gagal untuk memecah tembok pertahanan Malaysia, gol yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-71 setelah pengadil menghadiahkan sepakan penalti gara-gara kesilapan penjaga gol Malaysia, Abdul Alim Al Amri Ali menjatuhkan Supriadi.

Amirudin Bagus Kahfi Alfikri mudah menyempurnakan sepakan dan ianya kekal sebagai gol tunggal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Indonesia akan menentang juara bertahan Thailand dalam aksi final yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 11 Ogos. Thailand mara setelah menewaskan Myanmar juga dengan jaringan 1-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Malaysia dan Myanmar pula akan berentap untuk penentuan tempat ketiga.

Foto : Kompas

Comments