Fabio terkilan sikap kurang professional Kuala Lumpur

Muhammad Aiman Aminul

Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel boleh menerima dengan terbuka keputusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) merehatkan khidmatnya berkuatkuasa serta merta selepas hanya satu perlawanan Piala Malaysia dan menganggapnya sebagai asam garam dalam bolasepak.

“Ini adalah kali pertama sepanjang saya bergelar jurulatih professional, saya mendengar istilah direhatkan. Mungkin ia adalah cara sopan untuk memberitahu bahawa anda sudah dipecat, tetapi saya menerimanya, ia adalah normal dalam bola sepak, ” katanya.

Namun apa yang membuatkan pengendali dari Brazil itu terkilan adalah sikap kurang professional ditunjukkan oleh pengurusan KLFA.

Menjelaskan lebih lanjut, Fabio berkata, “Setidak-tidaknya mereka boleh menunjukkan sedikit rasa hormat kepada saya dengan memanggil untuk berjumpa dan menjelaskan mengenai kedudukan saya. Tiba-tiba saya menerima surat dari pengurusan sebelum sesi latihan pada Isnin dan kemudiannya pengurus pasukan memaklumkan saya bukan lagi jurulatih pasukan. Ini bukan cara yang betul dan tidak begitu professional.”

Apapun Fabio yang membimbing pasukan itu sejak musim lalu dan membawa mereka menjuarai Liga Premier dan layak beraksi di Liga Super berharap KLFA akan lebih professional di dalam menguruskan pampasan baki kontraknya yang masih berbaki sehingga November nanti.

Skuad warga kota itu terselamat daripada kembali tersingkir ke Liga Premier apabila menamatkan saingan di tangga kesepuluh setelah mencatat kemenangan penting ke atas Negeri Sembilan ketika saingan menuju ke penghujung.

Buat sementara ini tugas selaku jurulatih pasukan Kuala Lumpur akan dipangku oleh penolong jurulatih, Chong Yee Fatt.

Untuk rekod, Fabio adalah jurulatih ketujuh pasukan Liga Super untuk direhatkan atau ditamatkan kontrak selepas Sathit Bensoh, Ramon Marcote, Jorg Steinbrunner, P.Maniam, Azraai Khor Abdullah dan Eric Williams manakala dua lagi jurulatih Fajr Ibrahim dan Ulises Morais meletakkan jawatan.

 

Foto : Kuala Lumpur FA

 

Comments