Pemain yang perlu buktikan sesuatu di Piala Malaysia

Muhammad Aiman Aminul Muhammad Aiman Aminul

Piala Malaysia menjadi trofi terakhir untuk diburu dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Ia juga bakal menjadi pentas kebangkitan buat pemain-pemain yang gagal menyerlahkan prestasi terbaik di Liga Super.

Kami menyenaraikan empat pemain yang seharusnya memanfaatkan aksi Piala Malaysia sebaik mungkin untuk membuktikan mereka adalah jauh lebih baik dari apa yang telah disaksikan sepanjang musim ini.

 

Cristiano Santos (Kelantan)

Pemain ini masuk sebagai nama wajib di dalam senarai ini setelah aksi yang sangatlah longlai di Liga Super. Santos dibawa masuk Kelantan untuk menggantikan salah seorang daripada empat pemain import yang disingkirkan pasukan itu dan dicanang sebagai pemain yang bakal merubah masa depan mereka.

Namun, Santos menjadi bahan jenaka dan hebat dikritik oleh penyokong Kelantan sejak dari penampilan sulung sehinggalah ke aksi terakhir menentang Pahang, malah penyerang tempatan seperti Syafiq Shaharudin dilihat lebih menonjol daripada pemain ini.

Santos gagal menjaringkan walau satu pun gol di Liga Super dalam tujuh penampilan – rekod yang cukup teruk untuk seorang penyerang import – justeru dia sendiri pastinya sedar betapa Piala Malaysia adalah pentas terbaik untuk cuba memenangi hati penyokong The Red Warriors.

 

Austin Iwuji Amutu (Pahang)

Austin Amutu mungkin telah membantu Pahang menjulang Piala FA dan menamatkan saingan liga di kelompok empat pasukan teratas Liga Super, tetapi ia belum memadai untuk membuatkan penyokong tok gajah berpuas hati dengan sumbangannya.

Prestasinya dilihat sudah jauh lebih baik berbanding ketika awal menyarung jersi Pahang, namun secara keseluruhan dia belum benar-benar menepati apa yang diharapkan oleh penyokong daripadanya dan acap kali juga menjadi sindiran.

Dia datang dengan reputasi selaku mesin-gol tetapi dikatakan ‘indah khabar dari rupa’ dan rekrut yang tidak berbaloi apatah lagi Francis Forkey Doe yang beraksi hanya tiga perlawanan di awal musim menjaringkan lebih banyak gol daripadanya.

Dengan Pahang bersedia untuk ‘all-out’ bagi merampas semula kejuaraan yang dimenangi pada 2014, mereka pastinya mengharapkan sentuhan penyudah yang lebih tajam dari pemain ini.

 

Ramadhan Hamid (Kedah)

Mungkin agak janggal untuk melihat pemain ini masuk ke dalam senarai ini, tetapi memang Ramadhan ada sesuatu untuk dibuktikan.

Bekas penjaga gol Harimau Muda ini memulakan musim dengan harapan besar dapat mencabar kedudukan Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gawang utama Kelantan, malang sekali kedua-duanya ditunjukkan jalan keluar dan pada satu ketika berdepan detik sukar untuk memulihkan semula karier.

Selepas begitu lama terperap, dia dipancing Kedah yang terdesak memperbaiki rekod defensif mereka namun tidak banyak yang boleh dilakukannya sepanjang lapan penampilan.

Ia diburukkan dengan kepincangan barisan pertahanan yang tidak langsung konsisten, menyaksikan Kedah terlepas peluang menamatkan saingan di kelompok tiga teratas.

Ketiadaaan Ifwat Akmal yang terlibat dengan Sukan Asia bermakna penjaga gol ini bakal sekali lagi menjadi sandaran utama di gawang Kedah. Dengan Kedah diundi bersama Kelantan, apa lagi motivasi dan pembakar semangat lebih baik diperlukan oleh Ramadhan?

 

Paolo Rangel (Kedah)

Kedah meledak 25 gol dan menjaringkan gol dalam semua 11 perlawanan sebelum Paolo Rangel dibawa masuk sebagai pengganti Pablo Pallares di jendela perpindahan kedua.

11 perlawanan selepas kemasukannya, skuad Lang Merah hanya menjaringkan 13 gol dan pemain ini sendiri hanya menjaringkan lima gol – dua daripadanya adalah menerusi sepakan penalti. Dia juga dilayangkan kad merah ketika aksi penting menentang Johor Darul Takzim.

Statistik itu sendiri sudah cukup untuk menceritakan apa yang perlu dilakukan bekas penjaring terbanyak Liga Super ini tatkala Kedah cuba mencari saguhati di atas kegagalan musim 2018 – gagal mempertahankan Piala FA dan sekadar berada di tangga keenam Liga Super.

Bolehkah Rangel membantu Kedah mengecap rekod mara ke final Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut?

 

Foto : CSNSPortsTalk

Comments