Kedah merana hilang empat import untuk aksi penting

Muhammad Aiman Aminul

Kedah memburu kemenangan penting ke atas Terengganu malam ini dalam misi mereka mengukuhkan peluang mengakhiri saingan Liga Super 2018 di kedudukan kedua.

Begitupun ianya dilihat cukup berliku tatkala mereka dijangka turun tanpa kelibat empat pemain import iaitu Paolo Rangel dan Alvaro Silva (penggantungan) manakala Andik Vermanshah dan Liridon Krasniqi pula mengalami kecederaan. Jika ANdik dan Liridon gagal cergas sepenuhnya maka Kedah hanya mempunyai Sandro Mendonca sebagai import tunggal untuk dijadikan sandaran.

Turut tersisih kerana kecederaan adalah bintang muda Akhyar Rashid serta pemain pertahanan Ariff Farhan Mohd Isa sekaligus membuatkan Nidzam Adzha Yusoff bingung mencongak peluang pasukannya untuk bangkit mencatat kemenangan setelah mengalami dua kekalahan berturut-turut.

“Bukan mudah apabila hilang enam tonggak dan empat daripadanya adalah import. Tetapi saya pernah hadapi situasi seperti ini sebelum ini. Pemain tempatan perlu gunakan peluang ini sebaiknya untuk membuktikan kebolehan mereka, mereka tahu sejauh mana penting perlawanan ini jadi saya harap mereka tunjukkan karakter dan mentaliti yang diperlukan,” kata Nidzam.

Skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff itu ketika ini di kedudukan keempat dengan 30 mata dan terlibat dalam persaingan lima penjuru bersama-sama Perak (32 mata), Pahang dan Terengganu (30 mata) serta PKNS FC (29 mata) untuk merebut tempat kedua.

Mereka mungkin berada di kedudukan yang lebih baik jika tidak kerana kekalahan mengejut 1-4 di tangan Melaka United pada 10 Julai lalu disusuli kekalahan kepada juara liga, Johor Darul Takzim tiga hari kemudian.

Sebagai rekod, Lang Merah kembali ke Liga Super pada 2016 selepas tiga musim bermain di Liga Premier dan menamatkan saingan tangga ketiga dan kemudiannya menduduki tempat keempat pada 2017. Seandainya berjaya mengakhiri saingan selaku naib juara kali ini, ia akan menjadi pencapaian terbaik mereka sejak muncul juara pada 2008.

Selepas menentang Terengganu, Kedah akan berdepan pula Perak pada 22 Julai sebelum menutup tirai saingan musim ini dengan menentang PKNP FC (29 Julai) justeru perlu diakui mereka mempunyai peluang yang cukup cerah dan terbuka luas untuk melakukannya kali ini – tetapi hanya jika mereka tidak mensesiakan peluang ini.

 

Foto : Media Kedah FA

Comments