Malaysia boleh pergi lebih jauh tetapi sila realistik

Muhammad Aiman Aminul Muhammad Aiman Aminul

Pengendali skuad bawah 19 tahun Malaysia, Bojan Hodak berpendapat kejayaan pasukan bimbingannya menjuarai Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia adalah permulaan kepada lebih banyak lagi kejayaan buat bolasepak tanah air pada masa depan.

Malaysia muncul juara kejohanan tersebut buat pertama kali dalam sejarah setelah sekadar berpuas hati sebagai naib juara sebanyak lima kali sebelum ini pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.

Bojan berkata pemainnya telah menunjukkan karakter dan mentaliti yang diperlukan untuk menjadi seorang juara ketika bangkit daripada ketinggalan untuk mengetepikan Indonesia menerusi sepakan penalti di separuh akhir dan kemudiannya Myanmar 4-3 dalam aksi final.

Justeru pengendali dari Croatia itu mahu ianya dikekalkan dan meminta mereka menjadikannya sebagai motivasi untuk terus mengorak langkah pada ketika mereka akan menghadapi pula Kejuaraan AFC B-19, juga di Indonesia pada Oktober depan.

“Kejayaan ini penting untuk meningkatkan keyakinan para pemain, saya percaya lebih banyak kejayaan akan menyusul andai mereka mengekalkan elemen-elemen positif yang telah ditunjukkan sepanjang dua minggu di Indonesia.

“Mereka telah membuktikan ada kualiti untuk pergi jauh dan sudah tentu ia akan menjadi suntikan terbaik meneruskan kecemerlangan di Kejuaraan AFC B-19 pada Oktober nanti.

“Tetapi jangan kita letakkan harapan tinggi sebaliknya kena lebih realistik. Ia bukan bermaksud bila kita sudah menang AFF maka kita adalah pilihan untuk AFC, kita tetap pasukan bukan pilihan dan selesa dengan tag itu. Apa yang saya maksudkan ia akan memberi lebih keyakinan kepada mereka,” ujar Bojan.

Dalam saingan Kejuaraan AFC B-19 yang akan berlangsung dari  18 Oktober hingga 4 November, Malaysia telah diundi di dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China.

Foto : Sportflex Malaysia

Comments