AFF B-19 : Provokasi penyokong, Indonesia janji ketatkan kawalan

Muhammad Aiman Aminul

Susulan insiden barisan pemain dan pegawai pasukan Malaysia bawah 19 tahun diserang penyokong Indonesia sejurus tamat aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-19 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo pada Khamis.

Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) selaku tuan rumah memohon maaf atas insiden yang memalukan itu dan berjanji perkara sama tidak akan berulang apabila Malaysia turun menentang Myanmar dalam aksi final pada 14 Julai (Sabtu).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin berkata jaminan itu diberikan sendiri oleh Ketua Umum PSSI, Joko Driyono.

“Berdasarkan maklumat diterima dari pengurus pasukan Dato’ Ab Ghani Hassan dan pegawai-pegawai pasukan kita di sana, terdapat penyokong Indonesia membaling botol dan batu dari tempat duduk penonton ke arah para pemain B-19 kebangsaan selepas perlawanan iaitu ketika mereka hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan.

“Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan pasukan B-19 kebangsaan keluar lewat hampir sejam untuk pulang ke hotel penginapan. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dikawal pihak berkuasa dan tiada sebarang kecederaan dialami oleh para pemain dan pegawai pasukan B-19 kebangsaan.

“Susulan insiden itu, saya telah menghubungi Ketua Umum PSSI, Joko Driyono. Beliau mewakili PSSI memohon maaf dan berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan ketika menjalani latihan pada hari ini dan juga ketika di hotel penginapan,” kata Hamidin.

Penyokong Indonesia bertindak mencetuskan kekecohan tersebut dengan membaling batu dan botol minuman setelah pasukan Indonesia B-19 (Garuda Muda) tewas 2-3 menerusi penentuan penalti kepada Malaysia setelah kedudukan masa sebenar berakhir seri 1-1, menyebabkan pemain-pemain dan pegawai terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri.

Mengenai tindakan susulan yang akan diambil FAM, Hamidin berkata ia hanya akan diputuskan selepas mendapat laporan daripada Komissioner Perlawanan (MC) dan pengadil.

Foto : Yakult Malaysia/Sportflex

Comments