Negeri Sembilan bermain seperti sebuah pasukan amatur

Muhammad Aiman Aminul

Jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos seolah sudah menyerah kalah di dalam perjuangan pasukannya untuk terus kekal di dalam saingan Liga Super.

Sebaik kekalahan ke-12 musim ini, 3-5 di tangan PKNS FC di Stadium Shah Alam pada Rabu, Lemos berkata prestasi ditunjukkan pasukan itu ketika ini sangatlah mengecewakan dan tidak melayakkan mereka untuk terus bersaing di Liga Super.

“Saya keliru dengan apa yang terjadi, ia tidak kelihatan seperti sebuah pasukan bolasepak dan nampak amatur. Mereka berlari, naik dan turun seperti tidak pernah berlatih, tidak tahu taktikal dalam bolasepak dan melepaskan gol-gol mudah.

“Ketika separuh masa saya bertanya kepada mereka apa yang mereka (pemain) mahu, mereka kata mahu menang  tetapi bermain seperti tidak mahu menang. Ia lebih senang untuk bercakap berbanding melakukannya.

“Kita berhak untuk berada di kedudukan ini (tercorot) dengan apa yang kita tunjukkan,” ujar Lemos yang merupakan jurulatih ketiga skuad Negeri Sembilan musim ini selepas Jorg Steinbruner dan Azraai Khor Abdullah.

Berikutan kekalahan itu dan kemenangan dilakar oleh Kelantan ke atas Selangor, Negeri Sembilan tergelincir ke tangga tercorot dengan hanya mengumpul 12 mata.

Dengan hanya empat perlawanan berbaki, Negeri Sembilan tiada pilihan selain memenangi kesemua aksi terakhir mereka namun jelas sekali ianya tampak mustahil untuk dilakukan kerana dalam masa sama mereka perlu mengharapkan salah satu pasukan di atas mereka terutamanya PKNP FC, Selangor ataupun Kuala Lumpur untuk mencicirkan mata.

Baki aksi Negeri Sembilan selepas ini adalah menentang PKNP FC (14 Julai), Selangor (18 Julai), Kuala Lumpur (22 Julai) dan Melaka United (28 Julai).

Foto : Team N9FC

Comments