AFF B-19 : Azri muncul wira bawa Malaysia ke final

Muhammad Aiman Aminul

Penjaga gol, Mohd Azri Abdul Ghani tampil cemerlang menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membawa skuad bawah 19 tahun negara melangkah ke final Kejuaraan AFF B-19 dengan menewaskan tuan rumah, Indonesia 3-2 menerusi penentuan penalti.

Kedua-dua pasukan menamatkan aksi 90 minit masa sebenar di Stadium Gelora Delta Sidoarjo dengan keputusan seri 1-1.

Indonesia berada di depan seawal minit kedua menerusi Egy Maulana Vikri namun skuad negara bimbingan Bojan Hodak berjaya menyamakan kedudukan sepuluh minit kemudian menerusi ketua pasukan Syaiful Alias.

Debaran penentuan penalti menyaksikan Malaysia dan Indonesia berjaya menyempurnakan dua sepakan pertama namun Indonesia bimbingan Indra Sjafri berputih mata setelah tiga sepakan terakhir gagal menemui gawang.

Azri bertindak cemerlang menafikan sepakan Witan Sulaiman dan Asnawi Mangkualam manakala sepakan Firza Andika pula meliar melewati palang sekaligus menyaksikan Malaysia mara ke final buat tahun kedua berturut-turut.

Aksi final pada 14 Julai akan menemukan Malaysia dan Myanmar yang mara setelah mengejutkan juara bertahan Thailand 1-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ia akan menjadi pertemuan kedua Malaysia dan Myanmar di kejuaraan kali ini – ketika aksi terakhir Kumpulan B pada 10 Julai lalu, Malaysia menang 1-0.

Foto : FAM

Comments