4 pemain penentu kejuaraan Harimau Selatan

Muhammad Aiman Aminul

Johor Darul Takzim mencipta sejarah menjadi pasukan dari Malaysia pertama akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia dengan menjulang Liga Super 2018.

Mereka terlalu dominan dan sukar untuk disekat, hanya bertambah kuat dari musim ke musim. Kami menyenaraikan empat pemain yang boleh dianggap sebagai penentu kejayaan mereka menjulang Liga Super buat musim kelima berturut-turut dengan menewaskan Perak 2-1 di Ipoh.

 

Marcos Antonio

Ramai yang meragui sama ada kelibat pemain ini dapat disaksikan lagi di Larkin pada musim ini setelah tersisih hampir enam bulan kerana kecederaan ACL. Pemain import paling lama berkhidmat bersama harimau selatan dan sudah mengukuhkan reputasinya sebagai pemain kesayangan peminat.

Berdepan masalah kecergasan pada awal musim, Marcos bagaimanapun kembali tepat pada waktunya dan menjadi tunjang kekuatan pertahanan. Salah satu sebab Farizal Marlias boleh beraksi dengan lebih yakin adalah kerana adanya ‘kereta kebal’ mereka ini.

Membentuk gandingan cemerlang bersama S.Kunanlan, La’vere Corbin Ong, Fadhli Shas dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.

 

Hariss Harun

Tanggungjawab sebagai kapten adalah cukup berat lebih-lebih lagi apabila menjadi kapten di sebuah pasukan dikelilingi barisan pemain berstatus bintang dan dipenuhi ekspetasi tinggi. Tetapi Hariss membuktikan pilihan Raul Longhi tidak silap – menunjukkan kepimpinan yang cukup baik sebagai seorang kapten dan konsisten sebagai seorang pemain.

Kekuatan dan keupayaan memegang penguasaan di barisan tengah adalah kunci utama buat mana-mana pasukan untuk mendapat keputusan yang baik dan Hariss membekalkan kekuatan tersebut.

 

Farizal Marlias

Farizal kembali dari penggantungan lapan bulan dan merampas semula posisi penjaga gol nombor satu selepas tiga aksi pertama Liga Super.

Dalam 15 perlawanan sejak dari perlawanan keempat menentang Melaka United sehinggalah menentang Perak yang menghadiahkan kejuaraan buat JDT, Farizal begitu ampuh di gawang dan tampil dengan deretan aksi menyelamat cemerlang.

Merekodkan 11 ‘clean sheet’ dan hanya lima pemain berjaya menembusi gawang kawalannya dalam tempoh tersebut.

 

Safawi Rasid

Bukan mudah untuk seorang penyerang tempatan merebut tempat di dalam sebuah skuad yang dibarisi penyerang import yang bagus. Apabila mendapat peluang itu dia perlu untuk membuktikan sentuhannya dan itulah yang dilakukan Safawi.

Safawi merupakan penjaring terbanyak keseluruhan untuk skuad harimau selatan dan pemain yang boleh merubah keputusan perlawanan ketika pasukan benar-benar memerlukan. Lihat sahaja bagaimana dia membawa impak sejurus dibawa masuk ketika pasukan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Perak 2-1 dan mengesahkan kejuaraan.

Foto : Johor Southern Tigers

Comments