MotoGP: Malaysia Bakal Memiliki Pasukan Sendiri Pada Musim Hadapan

Naim Jaya

Perlumbaan MotoGP pada musim hadapan bakal menyaksikan kehadiran pasukan dari Malaysia apabila SIC Racing Team yang dimiliki oleh Sepang International Circuit bakal bergabung dengan salah sebuah pasukan yang beraksi pada musim ini, Angel Nieto Racing Team (ANRT).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman rasmi MotoGP.com, kedua-dua pasukan sudahpun mencapai persetujuan untuk SIC Racing Team mengambil-alih penyertaan Angel Nieto Racing Team untuk kategori Moto 3 dan MotoGP bermula pada musim 2019.

Dalam perkembangan yang sama, SIC juga dilaporkan sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Yamaha Motor Ltd untuk membolehkan pengeluar itu membekalkan jentera Yamaha YZR-M1 bagi pasukan baru itu nanti sehingga 2021.

Perjanjian ini juga menamatkan desas-desus pasukan manakah yang bakal menjadi pasukan satelit Yamaha setelah Tech 3 baru-baru ini mengumumkan untuk menamatkan kerjasama 20 tahun bersama pengeluar dari Jepun itu dan beralih kepada KTM bermula musim hadapan.

Namun begitu, sehingga kini masih belum ada pengumuman dari kedua-dua belah pihak mengenai pelumba yang bakal menyertai mereka pada musim hadapan walaupun terdapat beberapa laporan yang kuat mengatakan pelumba Honda Racing Team musim ini Dani Pedrosa bakal menyertai mereka.

Foto: Angel Nieto Racing Team

Comments