3 rekrut 2018 yang paling tidak berbaloi

Mohamad Ghaddar wikipedia
Muhammad Aiman Aminul

Pertambahan slot untuk pemain import (Asia Tenggara) bagi musim 2018 menjadikan pasukan-pasukan lebih rancak memperkasakan pasukan tetapi tidak semua pasukan yang bernasib baik dan bertuah untuk merekrut pemain-pemain import berkualiti.

Ada pasukan yang tersilap membuat pilihan dan ia sama sekali turut membawa kesan kepada prestasi pasukan.

Ramai pemain yang boleh masuk ke dalam senarai ini namun kami menyenaraikan tiga pemain import yang boleh disifatkan rekrut yang paling tidak berbaloi buat pasukan masing-masing bagi musim 2018.

Mohamad Ghaddar (Kelantan)

Kelantan membuat keputusan tidak mendaftarkan Morgaro Gomis yang sedang dalam pemulihan kecederaan untuk membawa masuk Ghaddar buat kali keempat mengambil kira rekod jaringan cemerlang ditunjukkannya pada musim 2017.

Ketika itu dia menjaringkan 18 gol dalam 11 perlawanan untuk The Red Warriors sebelum menyertai Johor Darul Takzim dan bergelar penjaring terbanyak Liga Super dengan 23 gol keseluruhan.

Kemasukan Ghaddar juga dilihat bertujuan memenangi hati penyokong yang kcewa dengan permulaan musim yang agak hambar tetapi ini juga bermakna Kelantan yang berdepan masalah kewangan kritikal mempunyai ‘lebihan’ pemain import di dalam skuad.

Datang dengan ekspetasi tinggi, Ghaddar bagaimanapun gagal mengulangi sentuhan jaringannya apabila hanya menjaringkan satu gol dalam saingan liga dan kemudiannya ditamatkan kontrak kerana mengalami kecederaan lutut.

Lazarus Kaimbi (Kelantan)

Penyerang dari Namibia ini dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua ke dalam skuad Kelantan yang sudah mengalami rombakan besar dengan empat pemain import telah disisihkan, bukan kerana prestasi tetapi kerana masalah kewangan.

Namun setelah bermain hanya dua perlawanan, khidmatnya terpaksa ditamatkan setelah dia mengalami kecederaan serius putus urat keting ketika menjalani latihan.

Sikap terburu-buru Persatuan Bolasepak Kelantan yang mengambil import tangkap muat demi menjimatkan kos nyata merugikan pasukan apatah lagi Lazarus diketahui sebagai seorang pemain ‘injury-prone’ malah pernah gagal melepasi ujian kesihatan di Pulau Pinang.

Prak Mony Udom (Negeri Sembilan)

Negeri Sembilan pada mulanya telah menyenaraikan Madhu Mohana di dalam skuad mereka bagi mengisi kuota pemain ASEAN namun kecederaan dialami pemain Singapura itu menyaksikan mereka beralih kepada pemain meningkat naik ini yang disifatkan sebagai bintang masa depan Kemboja.

Indah khabar dari rupa. Mungkin itu perumpamaan paling sesuai apabila Mony Udom yang beraksi di posisi serangan langsung gagal menyerlah dan membawa impak dalam skuad Negeri Sembilan yang mengharungi kempen liga cukup mengecewakan.

Dia beraksi hanya lima perlawanan dan gagal menjaringkan sebarang gol sebelum disisihkan ketika jendela perpindahan kedua, untuk digantikan oleh pemain Filipina Angel Guirado.

Comments