Asia Nations League : Kaji dulu sebelum laksanakan

Muhammad Aiman Aminul

Jika benar Kondeferasi Bolasepak Asia (AFC) berhasrat menganjurkan Asia Nations League, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memberi sokongan penuh.

Mengakui penganjuran liga yang diilhamkan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) itu sebagai suatu perubahan yang berfaedah, Timbalan Presiden FAM Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata ia bagaimanapun perlukan kajian secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.

“Sudah tentunya tidak salah meniru benda yang baik dan berfaedah, dari segi baiknya kita tahu ia membekalkan pasukan kebangsaan dengan aksi persahabatan yang lebih baik dan kompetitif, boleh membantu menaikkan ranking dan sebagainya.

“Jadual aksi persahabatan dalam kalendar antarabangsa juga akan lebih teratur dan menjamin setiap pasukan mematuhi jadual perlawanan yang telah disusun AFC, jadi takkan timbul masalah pasukan membatalkan aksi perlawanan.

“Tetapi dari segi kelemahan kita kena selidik juga. Sebagai contoh, apabila ia diadakan di Eropah, benua itu tidak begitu besar malah jarak antara negara juga dekat. Ia berbeza dengan benua Asia, faktor logistik dan kesediaan semua pasukan untuk menempuh  jarak perjalanan yang jauh perlu diambil kira,” kata Yusoff kepada Berita Harian.

Kata-kata Yusoff itu adalah sebagai reaksi kepada kenyataan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul sebelum ini yang menyatakan kesediaan AFC untuk mempertimbangkan idea menganjurkan liga menggunakan format sama seperti Europe Nations League.

Namun beliau menegaskan ia mungkin tidak akan berlaku dalam tempoh masa terdekat kerana banyak perkara perlu diperhalusi malah setiap negara perlu diberi penerangan yang jelas.

Europe Nations League berlangsung bermula minggu ini membabitkan 55 negara Eropah yang dibahagikan kepada empat liga mini (Liga A,B,C, D) dengan pembahagian pasukan adalah berdasarkan kedudukan dalam ranking FIFA.

12 pasukan terbaik Eropah berada dalam Liga A, 12 pasukan kedua terbaik di dalam Liga B, 15 pasukan seterusnya di dalam Liga C dan 16 pasukan terakhir berada dalam Liga D.

Sementara itu seandainya penganjuran Asia Nations League itu menjadi kenyataan, Malaysia dijangka akan berada dalam Liga C jika mengambil kira kedudukan ranking semasa FIFA – 171 dunia.

Kira-kira secara kasar mendapati Harimau Malaya mungkin diletakkan bersama-sama Turkmenistan, Yaman, Myanmar, Hong Kong, Afghanistan, Maldives, Kuwait, Nepal, Indonesia dan Singapura.

 

Foto : NSTP

Comments