Sukan Asia : Jadual Malaysia berubah sekali lagi

Muhammad Aiman Aminul Muhammad Aiman Aminul

Jadual aksi skuad bawah 23 tahun Malaysia di Sukan Asia Jakarta-Palembang berubah sekali lagi, setelah undian semula dilakukan buat kali ketiga pada Jumaat.

Undian itu menyaksikan skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee masih kekal sekumpulan bersama Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain di dalam Kumpulan E tetapi boleh menghela nafas lega setelah “dipisahkan” dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyertai mereka selepas undian dibuat kali kedua pada 25 Julai lalu.

UAE sebaliknya diundi ke dalam Kumpulan C bersama-sama China, Timor Leste dan Syria.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) terpaksa membuat undian semula itu setelah pasukan bolasepak Iraq membuat keputusan untuk menarik diri pada saat akhir sekaligus menyaksikan ada kumpulan yang tidak seimbang.

Walaupun dilihat sebagai perkhabaran yang menggembirakan, situasi kelam-kabut yang dihadapi INASGOC sedikit menjejaskan persiapan pasukan-pasukan yang mengambil bahagian, terutama yang terbabit dengan perubahan jadual.

Perubahan jadual sebelum ini telah menyaksikan Malaysia yang ketika ini berada di China sebagai persiapan beraksi di temasya itu membatalkan aksi persahabatan menentang Arab Saudi pada 9 Ogos.

Bolasepak di Sukan Asia akan berlangsung dari 10 Ogos hingga 2 September di beberapa venue seperti Palembang, Bekasi, Cibinong, Cikarang dan Soreang.

Comments