Sukan Asia : Malaysia wajar ambil inspirasi dari kemenangan ke atas Korea Selatan

AFC U-23 Championship Qualifiers: Indonesia announce provisional 24-man squad

Muhammad Aiman Aminul

Malaysia bertandang ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan sasaran utama adalah melayakkan diri berada di kelompok 16 terbaik – sama ada sebagai naib juara atau empat pasukan tangga ketiga terbaik kumpulan, sasaran itu dilihat boleh dipenuhi berdasarkan kekuatan pasukan dan prestasi semasa.

Yang pasti tiada siapa waima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun pengendali Dato’ Ong Kim Swee sendiri yang berani untuk mengatakan kita akan mara selaku juara kumpulan.

Tetapi setelah kejayaan tidak diduga menjuarai Kumpulan E yang turut dihuni pasukan pilihan utama Korea Selatan yang juga merupakan penyandang pingat emas, keghairahan semakin memuncak untuk melihat sejauh mana pasukan ini boleh melangkah.

Sehinggakan Presiden FAM, Dato’ Hamidin Amin tanpa berselindung menyatakan skuad ini mempunyai potensi untuk membawa pulang pingat buat pertama kali selepas 44 tahun.

Jelas sekali, kejayaan menewaskan Korea Selatan untuk menjuarai peringkat kumpulan adalah sangat besar ertinya, sudah begitu lama kemenangan seperti ini tidak dikecap maka kem Malaysia sama ada badan induk, pegawai, pemain dan penyokong boleh dimaafkan andai mereka terbang tinggi di awangan buat seketika.

Begitupun, apabila kembali berpijak di bumi nyata, mereka sedar lawan yang menanti di pusingan kedua bukanlah calang-calang – sebuah lagi pasukan gergasi Asia, Jepun yang merupakan juara edisi 2010.

Dalam masa sama skuad Jepun yang beraksi di temasya Sukan Asia ini bukanlah skuad B-23 yang boleh dianggap sebagai pilihan sebaliknya skuad B-21 mereka yang sedang dipersiapkan untuk memghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020. Mereka ke sini sebagai satu daripada platform pendedahan.

Skuad Hajime Moriyasu itu tidaklah begitu gah di peringkat kumpulan apabila sekadar merekodkan kemenangan ke atas pasukan yang jauh lebih lemah iaitu Pakistan dan Nepal, sebelum tumbang di tangan Vietnam.

Jadi adakah ini memberi indikasi bahawa peluang terbuka luas untuk Malaysia meneruskan langkahan dan sensasi yang telah dicipta? Mungkinkah ini masanya untukĀ  meneruskan kebangkitan bolasepak Malaysia di rantau Asia?

Apa sekalipun, kita tidak boleh terlalu yakin. Jepun sememangnya dibarisi skuad muda, tetapi itu bukan bermakna mereka mentah pengalaman. Ada di antara pemain Samurai Biru sudahpun bermain mewakili pasukan besar seperti Gamba Osaka dan Hokkaido Cansadole Saporro dan sudah tentunya level pemain B-21 mereka tidak boleh dipandang enteng.

Namun begitu, jika skuad negara mengambil inspirasi, semangat dan motivasi dari kemenangan yang dilakar ke atas Korea Selatan tempoh hari, mengulangi keghairahan yang sama untuk memburu kemenangan dan menunjukkan semangat melawan sehingga ke wisel penamat, maka ia bukanlah satu misi yang mustahil untuk kejutan diteruskan.

Selamat berjuang, dan selamat berjaya diucapkan kepada sang harimau muda!

 

Foto : Sportsflex Malaysia

Comments