Mengapa kemenangan ke atas Korea Selatan mempunyai impak besar?

Andrea Hoessein Andrea Hoessein

Kejayaan skuad B23 Tahun kebangsaan menewaskan Korea Selatan ketika aksi kedua Kumpulan E Jumaat lalu, jelas satu kemenangan penting buat bola sepak negara.

Berikut adalah lima faktor mengapa ia mempunyai impak yang cukup besar.

Layak ke pusingan 16 akhir

Kejayaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan Korea Selatan 2-1 membolehkan barisan negara mara ke 16 akhir walau apa saja keputusan berdepan Bahrain pada aksi terakhir kumpulan.

Ini juga adalah kali terakhir skuad B23 negara layak ke 16 akhir sejak temasya 2010 di Guangzhou.

Namun, dengan dua kemenangan berturut-turut dilakar ia merintis laluan lebih mudah selepas ini memandangkan Malaysia akan mara sebagai juara atau naib juara kumpulan.

Keberkesanan formasi 3-4-3

Tidak dinafikan, sejak Kim Swee menggunakan formasi ini di kelayakkan AFC B23 di Bangkok tahun lalu ia memberi kesan cukup positif.

Barisan pemain tampak serasi dan memahami tuntutan yang diperlukan Kim Swee untuk menjayakan taktikal formasi ini.

Formasi ini menjelmakan keampuhan Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan Dominic Tan di bahagian benteng manakala bahagian tengah cukup efektif meskipun pemain sayap lebih berperanan sebagai bek sayap yang kadang-kala memerlukan mereka membantu benteng.

Gandingan Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad jelas cukup efektif dalam formasi ini.

Formasi ini membolehkan pasukan menyerang dan bertahan secara berpasukan.

Bojan Hodak dan Tan Cheng Hoe sudah pasti mempunyai perancangan taktikal sendiri untuk skuad B19 dan senior negara.

Namun, dengan kejayaan demi kejayaan B22 menggunakan formasi ini mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menimbang kemungkinan ia digunakan untuk semua skuad kebangsaan peringkat umur.

B23 Malaysia setaraf terbaik Asia

Tidak salah untuk kita katakan, skuad B23 negara kini adalah setanding dengan barisan B23 negara-negara gergasi Asia lain selepas kemenangan ke atas Korea.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kyrgyzstan dan kini Korea Selatan sudah ditumbangkan yang menguatkan lagi hujah ini.

Selepas ini sudah pasti setiap gergasi Asia akan lebih berwaspasa apabila berdepan skuad B23 Malaysia.

Peningkatan B23 kebangsaan, adalah satu gambaran positif buat skuad kebangsaan.

Dalam masa beberapa tahun, sudah pasti pemain dalam B23 akan membarisi skuad senior kebangsaan.

Ketika ini juga ramai pemain B23 turut membarisi skuad senior kebangsaan .

Dan tidak mustahil, jika B23 terus mencapai peningkatan barisan senior juga akan meningkat ke aras lebih tinggi.

ong kim swee 180817 filepic

Misi ke Olimpik Tokyo 2020

Sebelum ini Kim Swee pernah mengatakan, sasaran utamanya buat B23 adalah kemaraan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Memang perjalanan masih jauh, namun selepas kejayaan menewaskan Korea, UAE dan Arab Saudi di peringkat B23 dalam tempoh setahun, ia pasti menyuntik keyakinan positif buat pasukan.

Apa yang penting adalah buat Kim Swee terus merangka perancangan dan program persiapan berkesan untuk mengharungi kelayakkan AFC B23 tahun depan yang juga saingan kelayakkan Olimpik.

Tidak mustahil impian ke Olimpik akan terlaksana jika setiap pemain meneruskan kerja keras mereka selama ini.

Sebenarnya tiada sebab mengapa ia tidak mampu dicapai, sedangkan badi tanpa kemenangan ke atas Korea selama 44 tahun di Sukan Asia juga sudah ditamatkan.

Kim Swee bukti pengendali tempatan berkualiti

Ketika Kim Swee ditugaskan kembali dengn skuad B23, prestasi pasukan tidak konsisten di bawah kendalian jurulatih kelahiran Jerman, Frank Bernhardt.

Namun, Kim Swee yang pernah gagal bersama B23 serta senior kebangsaan sebelum ini tampak lebih matang apabila diberi talian hayat kedua oleh mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum Sukan Sea Kuala Lumpur tahun lalu.

Dengan formasi 3-4-3, Kim Swee berjaya membawa pasukan B23 ke suku akhir AFC B23 di China Januari lalu serta pingat perak di Sukan Sea Kuala Lumpur lalu.

Kini, B23 juga sudah menesahkan kemaraan ke 16 akhir Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Jelas sekali ia adalah keputusan tepat daripada Tunku Ismail mengekalkan khidmat Kim Swee di FAM.

Jika Bernhardt dikekalkan, tiada jaminan dia mampu mencapai apa yang sudah diraih Kim Swee setakat ini.

Kejayaan Kim Swee juga membuktikan, pengendali tempatan turut berkemampuan mengendalikan pasukan.

Sudah pasti, Kim Swee kini juga berjaya meningkatkan status jurulatih tempatan dengan kejayaan yang sudah diraih.

Comments