Sukan Asia : Nik Akif sedia tampung ketiadaan Norazam

Muhammad Aiman Aminul

Nama pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat semakin hari semakin menjadi sebutan penyokong bolasepak tempatan.

Pada usia 19 tahun, Nik Akif sudahpun meletakkan dirinya sebagai material kesebelasan utama dan merupakan pemain paling menyerlah dalam skuad serba bermasalah Kelantan musim ini.

Dia merupakan anggota skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang mencipta sejarah layak ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 pada Januari lalu dan pada bulan lalu, Nik Akif terus mencuri tumpuan apabila dua gol jaringannya membantu skuad B-19 tahun Malaysia kendalian Bojan Hodak menjulang Kejuaraan AFF B-19 buat kali pertama dalam sejarah dengan menewaskan Myanmar 4-3.

Nik Akif menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi sepakan percuma cantik dan dia semakin membara mahu mengulangi sentuhan cemerlang itu di pentas lebih besar, di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

“Saya mahu terus mengorak langkah ke depan, ia satu penghormatan besar apabila dipanggil menyarung jersi negara di temasya besar seperti ini dan saya tidak mahu sia-siakannya.

“Sudah tentu saya tidak mahu sekadar menjadi pelengkap di dalam skuad, setiap pemain impikan peluang seperti ini dan saya mahu diberi peluang beraksi, saya akan bekerja keras untuk meyakinkan jurulatih,” kata pemain kelahiran Kuala Krai ketika dihubungi Foxsports Malaysia.

Nik Akif hanyalah seorang daripada dua pemain skuad B-19 dipanggil ke kem latihan pusat skuad B-23, seorang lagi adalah Akhyar.

Dengan Kim Swee ketika ini sedang pening kepala memikirkan siapa pemain yang boleh digandingkan di barisan tengah berikutan ketiadaan Norazam Azih yang tidak dilepaskan Pahang serta pemain Johor Darul Takzim, Syamer Kutty Abba yang mengalami kecederaan, Nik Akif bersedia menggalas tanggungjawab menggerakan enjin tengah pasukan.

“Pemain seperti Norazam adalah aset tengah pasukan, jadi ketiadaannya memang satu kehilangan, tetapi ini masanya untuk pemain lain membuktikan, termasuk saya sendiri. Saya telah diberi peluang untuk berganding dengan Baddrol (Bakhtiar) dalam aksi persahabatan menentang China.

“Keserasian itu ada, persefahaman masih boleh ditambahbaik, jurulatih tentunya ada perancangan sendiri, siapa yang mahu diletakkan mengikut kesesuaian lawan, taktikal, formasi, tetapi jika jika diberi peluang, saya bersedia untuk membalas kepercayaan tersebut,” ujarnya.

Sememangnya tidak banyak pilihan yang Kim Swee ada kerana selain Baddrol dan Nik Akif, pengendali itu hanya mempunyai pemain Felda United, Daniel Amier Norhisham tetapi pemain itu juga mengalami kecederaan dan tidak diturunkan ketika tewas dalam aksi persahabatan menentang skuad B-23 China pada 5 Julai lalu.

Syahmi Safari yang boleh bermain di pelbagai posisi adalah seorang lagi opsyen yang mungkin difikirkan sesuai dan dalam situasi ini, Kim Swee mungkin mengharapkan lebih versatiliti dari pemainnya.

Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi pemanas badan terakhir pada 10 Ogos (Jumaat) sebelum terbang ke Indonesia.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan membuka tirai Sukan Asia dengan menentang Kyrgyzstan pada 15 Ogos diikuti juara bertahan Korea Selatan pada 17 Ogos dan Bahrain pada 20 Ogos.

Foto : Sportsflex Malaysia

Comments