AFF B-16 : Jaringan sendiri bawa Malaysia jumpa Indonesia di separuh akhir

Muhammad Aiman Aminul

Skuad bawah 16 tahun Malaysia menempah tiket beraksi di separuh akhir Kejuaraan AFF B-16 setelah menewaskan Laos 1-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Selasa.

Malaysia bimbingan Raja Azlan Shah Raja Sho’ib turun di Stadium Gelora Joko Samudro dengan misi wajib menang bagi mengelak kejutan tersingkir awal dan mengulangi pencapaian mara ke kelompok empat terbaik tahun lalu.

Begitupun ia bukan perlawanan mudah buat mereka tatkala Laos yang hanya memerlukan satu mata tampil memberikan tentangan sengit dan mengerah barisan pemain Malaysia untuk bekerja keras sebelum memastikan kemenangan.

Jaringan sendiri oleh Anoulath Vannalath seawal minit keempat menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan sekaligus menyaksikan Malaysia melakar kemenangan ketiga berturut-turut dan menamatkan aksi Kumpulan B di tempat kedua dengan sembilan mata.

Thailand yang sudahpun lebih awal mengesahkan tempat di separuh akhir muncul juara kumpulan dengan 10 mata manakala Laos yang mengumpul tujuh mata mengakhiri cabaran di tempat ketiga.

Dalam aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Khamis, Malaysia akan berdepan tuan rumah Indonesia yang mengungguli Kumpulan A dengan mencatat rekod bersih menang kesemua lima perlawanan, dan ianya menjanjikan pertembungan yang hampir pasti berlangsung tegang.

Bulan lalu di Kejuaraan AFF B-19, pemain-pemain Malaysia dibaling dengan batu dan botol selepas menewaskan Indonesia di separuh akhir, dan keadaan bertambah buruk apabila pemain b-16, Amirul Ashrafiq Hanifah tersilap meletakkan bendera Indonesia dalam keadaan terbalik ketika mengucapkan selamat berjuang di instagram peribadinya.

Ketika aksi pembukaan Kumpulan B antara Malaysia dan Thailand pada minggu lalu, penyokong Indonesia bertindak melakukan provokasi melampau dengan menyanyikan chant berbunyi “Malaysia itu anjing” dan “Amirul itu anjing” sehingga memaksa Persatuan Bolasepak Malaysia menghantar bantahan kepada Konfederasi Bolasepak Asia.

Foto : FAaM

Comments