Aksi lima bintang

Andrea Hoessein Andrea Hoessein

Pemain badminton negara, Liew Daren dan pemain baru Liverpool, Xherdan Shaqiri antara yang mengisi Aksi Lima Bintang Fox musim ini.

Liew Daren

Pemain badminton profesional negara, Liew Daren. setakat ini wajar berada dalam senarai lima bintang minggu ini.

Siapa sangka bekas pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ini mampu ke suku akhir saingan Kejohanan Dunia BWF di Nanjing.

Daren juga ke Nanjing tanpa kelibat seorang jurulatih dan hanya mendapat ihsan BAM, untuk meminjamkan jurulatih perseorangan Datuk Tey Seu Bock bagi menemaninya di tepi gelanggang.

Daren menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie 21-12,21-16 du pusingan pertama sebelum mudah menewaskan pemain Israel, Misha Zilberman 21-16,21-16.

Kejutan terbesar sudah pasti apabila Daren menewaskan pemain nombor lima dunia dari India, K Srikanth di pusingan ketiga.

Daren menang 21-18,21-18 untuk ke suku akhir Kejohanan Dunia yang pertama baginya.

Walau apa pun keputusan berdepan Kanta Tsuneyama dari Jepun di aksi suku akhir pada Jumaat, peningkatan Daren satu kebanggaan.

Aaron Chia/Soh Wooi Yik

Jika Liew Daren melakar kejutan dalam perseorangan lelaki, pasangan Aaron Chia/ Soh Wooi Yik pula mencuri tumpuan di saingan beregu lelaki Kejohanan Dunia BWF.

Pasangan muda ini mencipta kejutan untuk mara ke suku akhir dan turut menewaskan pasangan Denmark di ranking kesembilan dunia, Kim Astrup/ Anders Skaarup Rasmussen 21-18,21-16 di pusingan ketiga.

Kejayaan pasangan di ranking ke35 dunia ini membuktikan, mereka kini pasangan yang perlu diberi perhatian oleh BAM.

Xherdan Shaqiri

Atlet ketiga dalam senarai lima bintang minggu ini, ialah pemain sayap baru Liverpool Xherdan Shaqiri.

Pemain antarabangsa Switzerland ini menjaringkan satu gol menakjubkan berdepan Manchester United, ketika saingan pra-musim Piala Cabaran Antarabangsa di Michigan 28 Julai lalu.

Biarpun ia sekadar aksi pra musim berdepan United yang menurunkan ramai pemain muda, aksi Shaqiri tetap memukau.

Bekas pemain Stoke City diramalkan ramai pemerhati hanya sebagai pemain gantian Liverpool musim ini buat dua pemain sayap utama, Mohammad Sallah dan Sadio Mane.

Namun, Jurgen Kloop menurunkannya sebagai pemain tengah “Nombor 10” dan aksi berdepan United memberi gambaran dia mampu mengisi posisi tersebut untuk saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Lewis Hamilton

Bintang F1 Britain, Lewis Hamilton mengisi posisi keempat aksi lima bintang selepas kejayaannya meraih kejuaraan Grand Prix Hungary.

Hamilton mencatat masa 1:37:16.427 untuk memastikan kemenangan kelimanya musim ini.

Pada usia 33 tahun, Hamilton membuktikan dia kini berada di tahap terbaik dengan kawalan pemanduan yang luar biasa walaupun berlumba dengan keadaan cuaca kurang baik.

Hamilton kini turut mendahului senarai pemandu dengan meraih 213 mata selepas 12 perlumbaan musim ini.

Tottenham Hotspur

Posisi kelima aksi lima bintang musim ini diisi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottnham Hotspur.

Skuad kendalian Mouricio Pochettino ini sudah beraksi dalam tiga aksi pra musim Piala Cabaran Antarabangsa (ICC) dengan merakam dua kemenangan dan satu seri.

Akai terakhir berdepan AC Milan menyaksikan Spurs menang 1-0 1 Ogos lalu, hasil jaringan Kevin N’Koudou minit 47.

Apa yang menarik ialah Pochettino setakat ini belum lagi membeli sebarang pemain baru.

Aksi pra musim turut berlansung tanpa kelibat beberapa tonggak yang beraksi di saingan Piala Dunia lalu.

Pendekatan Spurs jelas berbeza dengan kelab EPL lain seperti Liverpool, Manchester United dan Chelsea yang tampak ghairah menguatkan barisan masing-masing.

Pochettino seakan optimis, pemain sedia ada berupaya memberikan cabaran kuat dalam saingan EPL musim ini.

Comments