Yusri belum mahu mengalah walaupun peluang semakin sempit

Muhammad Aiman Aminul

Kedudukan Kelantan di dalam Liga Super sudah ibarat nyawa-nyawa ikan, tetapi ia belum membuatkan pengendalinya, Yusri Che Lah mengibar bendera putih.

Yusri yang mengambil alih tanggungjawab selaku jurulatih selepas Fajr Ibrahim ‘melarikan diri’ pada bulan Mei lalu akur peluang semakin sempit tatkala segalanya seakan tidak menjadi buat mereka tetapi percaya masih ada ruang untuk keajaiban berlaku.

Kelantan terlepas peluang untuk melakar kemenangan penting ke atas Melaka United di Kota Bharu, sekadar berpuas hati dengan satu mata setelah seri 1-1, dikecewakan menerusi penalti masa kecederaan oleh Yahor Zubovich.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan ketika ini lima mata dipisahkan dari zon penyingkiran dengan hanya tiga perlawanan berbaki. Mereka mengumpul 15 mata dan berada di tangga kesebelas dan hanya tiga pasukan sahaja yang masih boleh dipintas oleh mereka jika dapat memenangi tiga aksi terakhir iaitu PKNP FC, Selangor dan Kuala Lumpur.

Tetapi, jika melakukan kebangkitan dengan memenangi tiga perlawanan terakhir sekalipun, mereka tetap perlu mengharapkan salah satu daripada PKNP FC, Kuala Lumpur dan Selangor mencicirkan mata dalam baki perlawanan masing-masing yang dilihat sebagai mustahil.

“Situasinya mungkin sedikit berbeza kalau kita menang ke atas Melaka, hanya beberapa saat sahaja memisahkan kita dari melakukannya. Sudah tentu saya kecewa, terlalu kecewa. Kita perlu menang semua tiga perlawanan yang tinggal sambil mengharapkan keputusan lain juga memihak kepada kita.

“Saya tahu pemain sentiasa memberikan yang terbaik, kredit kepada mereka, mereka tidak pernah berputus asa. Sebab itu saya sentiasa optimis, jika saya pun berputus asa siapa yang akan memberikan mereka keyakinan, motivasi dan semangat untuk terus berjuang?” ujar Yusri.

Kelantan sebenarnya mungkin tidak perlu menunggu sehingga ke minggu terakhir untuk mengetahui nasib mereka. Aksi seterusnya menentang Johor Darul Takzim di Larkin pada 20 Julai dilihat akan menjadi penentu, jika tewas mereka boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super selepas 10 musim.

Dua aksi selepas itu adalah menentang Terengganu pada 23 Julai dan Pahang pada 29 Julai.

 

Foto : CSNSportstalk

Comments